Sambutan Hari Guru SAMSMEL 2008

16 Mei 2008 (Isnin), Sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah diadakan bagi meraikan para guru SAMSMEL yang telah banyak berjasa terutamanya terhadap para pelajar. Pada mulanya guru-guru diarakkan dari tapak perhimpunan hingga ke Dewan Sekolah dan diiringi alunan kompang oleh pasukan kompang sekolah. Sambutan Hari Guru dirasmikan oleh Puan Pengetua, Puan Hajjah Hiyati bt. Othaman manakala tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Gemilang Negara Terbilang". Selesai saja ucapan dari Puan Pengetua, satu tayangan slaid yang disediakan oleh pelajar ditayangkan sebagai satu persembahan.

Persembahan daripada para pelajar tambah menggamatkan suasana yang semakin meriah. Pada hari keramat ini juga lagu sekolah SAMSMEL versi baru telah dilancarkan, selain persembahan oleh para guru. Pada tarikh yang sama, hari itu ialah hari terakhir buat Puan Nor Azlin bt. Salamun di sekolah ini kerana beliau akan berpindah ke Bahagian Pendidikan Islam, JAIS.

Jamuan ringkas telah diadakan untuk para pelajar pada waktu rehat manakala jamuan untuk para guru bermula setelah tamatnya majlis. Agenda selepas waktu rehat ialah ceramah Aman Palestin oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bukan sahaja memberi ceramah dan mengedar risalah, malah menjual buku-buku agama. Slaid demi slaid ditayangkan berkisar tentang peperangan di Palestin.

Majlis Sambutan Hari Guru SAMSMEL berakhir setelah ketua-ketua tingkatan menyampaikan hadiah kepada guru kelas masing-masing. Berikut adalah beberapa gambar sepanjang majlis tersebut.

0 respon:

Related Posts with Thumbnails