Kursus Asas Sembelihan

Isu halal haram adalah suatu perkara yang sangat penting, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan makanan seharian kita. Banyak kejadian baru-baru ini yang mengetengahkan kes penyembelihan yang tidak menepati kehendak syara' seperti penyembelihan ayam untuk tujuan komersial dan perniagaan. Justeru, berdasarkan kesedaran atas masalah ini Panitia Pendidikan Islam dengan bantuan 3 orang Guru Pelatih daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan dengan kerjasama dengan Pejabat Islam Daerah Sepang telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Kursus Asas Sembelihan pada 28 Jun 2008 bagi para pelajar Tingkatan 4.

Kursus tersebut dimulakan seawal 8.30 pagi bertempat di Surau Al-Azhar, SAM Sungai Merab Luar. Kursus dimulakan dengan ucapan pengerusi dan ucapan perasmian oleh Ustaz Yaziz bin Kasran, GPK Akademik yang baru. Pengisian kursus disampaikan oleh Ustaz Ismail bin Mislan, penceramah jemputan yang dijemput khas oleh Unit Dakwah, Pejabat Agama Islam Daerah Sepang.

Selesai jamuan minum pagi, peserta kursus berhimpun di luar surau bagi sesi amali. Peserta kursus dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka dikehendaki mempraktikkan teknik penyembelihan yang telah dipelajari semasa sesi teori di awal kursus tadi.

Berbagai gelagat yang mencuit hati dilakukan oleh para peserta kursus tersebut semasa menyembelih ayam. Ada yang berani dan ada pula yang agak ragu-ragu semasa menyembelih. Mujurlah tidak ada seekor ayam pun yang tidak berjaya disembelih dengan betul dan semuanya halal untuk dimakan.

Pada sebelah petangnya pula, para peserta bergotong-royong membersihkan ayam-ayam tersebut, memotong dan menggorengnya beramai-ramai di kantin sekolah. Selesai menggoreng, mereka beramai-ramai menjamu selera dengan ayam goreng hasil penyembelihan pagi tadi. Alhamdulillah, kursus ini berjalan lancar dan para peserta berpuas hati serta mendapat pelbagai input yang berguna dan berfaedah.

0 respon:

Related Posts with Thumbnails