Sambutan Aidilfitri PIBG SAMSMEL

27 Oktober 2008 (Isnin), jamuan sempena Hari Raya Aidilfitri anjuran PIBG SAMSMEL ini diadakan bertempat di dataran SAMSMEL. Para pelajar, terutamanya yang menetap di asrama dikehendaki hadir sebelum pukul 4.30 petang supaya majlis yang turut disertai ibu bapa dan guru ini dapat berjalan dengan lancar.

Acara bermula kira-kira pukul 5 petang dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, ucapan YDP PIBG, En. Badaruddin b. Dahlan dan ucapan Puan Pengetua SAM Sg.Merab Luar, Pn. Noor Hiyati bt. Othaman. Agenda seterusnya, para ibu bapa, guru dan para pelajar dijemput menjamu selera selepas bacaan doa oleh saudara Farzad b. Hj Abd Jalil. Moga-moga acara yang diadakan boleh menjadi tali penghubung kemesraan antara para ibu bapa ,barisan guru-guru, dan para pelajar.


Sambutan Aidilfitri Peringkat Sekolah

20 Oktober 2008 (Isnin), SAM Sungai Merab Luar telah mengadakan Jamuan Hari Raya Peringkat Sekolah. Majlis ini bermula pada jam 12 tengah hari bertempat di dewan SAMSMEL. Majlis ini dipengerusikan oleh saudara Farzad b. Hj Abd Jalil merangkap Ketua Umum SAMSMEL. Seterusnya, majlis menjemput Pn. Hajjah Noor Hiyati bt. Othaman, Pengetua SAMSMEL untuk menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya, beliau berharap agar hubungan silaturrahim antara pelajar dan guru-guru dapat dieratkan.

Kemudian, majlis ini diiringi dengan bacaan doa sebagai pembukaan majlis dan doa makan yang diketuai oleh saudara Muaz b. Abd Malik, seterusnya majlis menjemput para guru dan pelajar untuk menjamu selera. Antara hidangan yang disajikan pada hari itu ialah nasi impit, kuah kacang, kuah lodeh dan rendang daging. Semua pelajar dan guru menikmati sajian yang telah disediakan secara katering melalui tempahan khas daripada luar. Majlis ini berakhir kira-kira jam 1.30 tengah hari, semua pelajar diminta untuk mengemas dan membersihkan dewan tersebut sebelum bersurai.

Maat Taufiq Wan Najah

Genap seminggu warga SAM Sungai Merab Luar bercuti sempena Aidilfitri, para pelajar tingkatan 4 akan menduduki Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) bagi tahun ini yang bermula pada 6/10/2008 hingga 9/10/2008 manakala para pelajar Tingkatan 3 pula akan menduduki Peperiksaan PMR bermula pada 12/10/2008 hingga 16/10/2008.

Calon yang menduduki Peperiksaan SMA dianggarkan seramai 64 orang. Ini kerana ada beberapa calon yang telah mendaftarkan diri untuk peperiksaan ini telah berpindah ke sekolah lain, namun nama mereka telah didaftarkan di sekolah ini, manakala calon bagi Peperiksaan PMR adalah seramai 81 orang.

Buat semua calon Peperiksaan SMA dan PMR, walaupun bahang dan kehangatan Aidilfitri masih lagi terasa, jangan jadikan ianya sebagai penghalang untuk anda mencipta kejayaan dan hadapilah peperiksaan ini dengan tenang, matang dan bijaksana.

Doa dan harapan seluruh warga SAMSMEL buat semua calon Peperiksaan SMA yang merupakan perintis kepada Peperiksaan ini disebabkan telah 3 tahun sekolah ini tiada Peperiksaan SMA kerana tiada pelajar tingkatan 4. Tidak lupa juga kepada semua calon Peperiksaan PMR, berjuanglah habis-habisan dan buatlah yang terbaik untuk diri anda dan nama baik SAMSMEL. Bittaufiq Wan Najah.

Selamat Pengantin Baru Cikgu Rifaiza

Siapa tak kenal Cikgu Rifaiza atau nama glamournya Cikgu Peja. Telatah dan gurauan cikgu yang berasal daripada Kelantan ini sering membuatkan kami ketawa dan cukup senang hati dengan perwatakannya. Di usia 28 tahun beliau telah menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihannya, Nor Saliza binti Mat Zain yang juga merupakan anak jati Kelantan.

Majlis akad nikah dan walimatul urus diadakan di rumah pengantin perempuan yang terletak di Pasir Mas pada Hari Raya ke 3 dan majlis kenduri sebelah pengantin lelaki pula diadakan di Kuala Kerai pada Hari Raya ke 4. Suasana Aidilfitri nampaknya semakin meriah dengan berlangsungnya majlis perkahwinan 2 mempelai ini.

Doa daripada seluruh warga SAMSMEL semoga kedua-dua pasangan beroleh kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke akhir usia mereka, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah dan sentiasa diberkati Allah SWT hendaknya.


Ramadhan sudah berlalu pergi, kini Syawal menjelang lagi. Di hari dan bulan yang baik ini, marilah kita bermaaf-maafan dan saling menziarahi sesama saudara, sahabat dan rakan-rakan.

Dikesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga segala kesalahan sepanjang perkenalan dimaafkan dan tiada lagi noda dan dosa yang masih dalam ingatan. Semoga perkenalan kita diberkati Allah SWT hendaknya. Jadikanlah segala cabaran dan halangan sepanjang kehidupan ini sebagai pendorong untuk kita membina kecemerlangan. Jangan mudah tewas dengan segala dugaan ini. Ingatlah, Allah bersama-sama dengan mereka yang cekal, sabar dan tabah serta sentiasa berusaha mencipta kejayaan dan kecemerlangan.

Related Posts with Thumbnails