Reunion Senior SAMSMEL 2008

Nama Program : Reunion Senior SAMSMEL 2008
Tarikh : Sabtu / 13 Disember 2008
Masa : 8.30 pagi hingga 4.30 petang
Tempat : Masjid UNITEN, Kajang
Bayaran : RM15.00 seorang

Objektif Program
1) Merapatkan semula ukhuwah pelajar senior SAMSMEL yang terpisah.

2) Memupuk semangat kerjasama dan melatih sifat kepimpinan.
3) Melaksanakan Pemilihan AJK Kelab Alumni Pelajar SAMSMEL.

Tentatif Program
8.00 pagi : Kehadiran AJK
8.30 pagi : Kehadiran peserta dan pendaftaran
9.30 pagi : Ucapan Pengerusi Majlis
9.45 pagi : Bacaan doa
9.50 pagi : Ucapan Perasmian oleh Guru Penasihat
10.00 pagi : Mesyuarat Pemilihan AJK Kelab Alumni Senior SAMSMEL
11.00 pagi : Minum pagi
11.30 pagi : Perbincangan aktiviti Kelab Alumni Senior SAMSMEL
12.30 thari : Makan tengah hari dan persembahan
1.00 ptg : Solat Zohor berjemaah
2.00 ptg : Aktiviti dan permainan (sukaneka & berkayak)
4.00 ptg : Penyampaian hadiah dan bersurai
* Tertakluk pada perubahan

Sila ambil perhatian !
  • Untuk pertanyaan dan pengesahan kehadiran sila hubungi saudara Muaz bin Ab. Malik di talian 013-2366675 bagi peserta lelaki dan kepada saudari Atikah binti Esa di talian 017-2437514 bagi peserta perempuan.
  • Anda digalakkan membawa sedikit juadah bagi menambahkan lagi juadah minum pagi.
  • Sila berpakaian kemas dan sopan, sesuai dengan lokasi di masjid.
  • Bawa pakaian untuk bersukan atau berkayak (sekiranya perlu).

Mesyuarat Agung Koperasi SAMSMEL

13 November 2008 (Khamis), buat julung kalinya SAM Sungai Merab Luar menubuhkan koperasi sekolah bagi menggantikan kedai sekolah kendalian pihak luar. Mesyuarat ini bagaimanapun melibatkan seluruh warga SAMSMEL yang bermula seawal 11 pagi, bertempat di Dewan Baru SAMSMEL.

Setelah bacaan doa oleh Ustaz Mohd Fadzil Ibrahim, Encik Erwin b. Khairil Anwar iaitu seorang Pegawai Koperasi yang dijemput telah menyampaikan taklimat beliau berkenaan koperasi seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi SAMSMEL. Agenda seterusnya ialah perlantikan Pengerusi Mesyuarat Agung SAMSMEL dan perlantikan anggota lembaga daripada kalangan guru dan pelajar. Kemudian majlis diteruskan dengan pembentangan belanjawan koperasi bagi tahun 2009 dan had maksimum keterhutangan koperasi ditentukan.

Adalah amat diharapkan seluruh warga SAMSMEL menyokong penuh penubuhan koperasi ini yang dinamakan Koperasi SAM Sungai Merab Luar Berhad, yang mana penubuhannya antara lainnya bagi memenuhi keperluan pihak sekolah sendiri.

Program Keceriaan & Khidmat Masyarakat

12 November 2008 (Rabu), satu aktiviti kemasyarakatan peringkat sekolah telah dijalankan anjuran Panitia Sivik & Kewarganegaraan. Acara ini melibatkan semua pelajar dan diselia oleh Guru Pembimbing mengikut kelas masing-masing. Projek ini selain bertujuan memenuhi kehendak sukatan matapelajaran Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan, turut mensasarkan objektif lain antaranya memastikan kawasan sekolah dalam keadaan bersih dan ceria. Projek bermula sejak awal pagi lagi dan tamat pada jam 2 petang.

Beberapa kawasan di sekitar sekolah ini kini kelihatan lebih bersih dan ceria. Selain itu, semangat kerjasama dan cintakan sekolah dapat disemai dalam diri setiap pelajar. Semoga projek yang dilaksanakan pada hari ini dapat mendatangkan manfaat kepada semua yang terlibat.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti tersebut.

Hari Kemuncak Kokurikulum 2008

10 hingga 11 November 2008, telah berlangsung Hari Kemuncak Kokurikulum SAM Sungai Merab Luar. Program ini berjalan selama 2 hari. Bagi menjayakan program ini, Unit Kokurikulum telah menganjurkan beberapa acara iaitu perlawanan bola jaring dan perlawanan bola sepak antara kelas. Manakala, pertandingan memasak dan kawad kaki dipertandingkan antara unit beruniform.

Pertandingan kawad kaki dan memasak melibatkan semua unit beruniform iaitu Kadet Bomba, Puteri Islam, Kadet Polis dan Kadet Remaja. Semua acara ini telah dijalankan di padang sekolah. Pemenang bagi acara yang dianjurkan seperti berikut :

Acara Memasak (L)
1) Kadet Polis
2) Kadet Remaja Sekolah

Acara Memasak (P)
1) Puteri Islam
2) Kadet Polis

Acara Kawad Kaki (L)
1) Kadet Bomba
2) Kadet Remaja Sekolah

Acara Kawad Kaki (P)
1) Kadet Remaja Sekolah
2) Kadet Polis

Sukan Bola Jaring
Menengah Atas
1) Tingkatan 4A1
2) Tingkatan 3A1

Menengah Rendah
1) Tingkatan 1A2
2) Tingkatan 1A3

Sukan Bola Sepak
1) Tingkatan 3A2
2) Tingkatan 3A1


Tamrin I'dadul Madrasah

7 hingga 9 November 2008 Merupakan sebuah program asrama, program “Tamrin I`dadil Madrasah 2008” ini mensasarkan semua pelajar asrama dari tingkatan 1 hingga 4 sebagai peserta program. Program ini memfokuskan kepada “ ketepatan masa” dan “ kepatuhan kepada arahan”. Selain itu, tamrin ini turut merangkumi beberapa objektif lain seperti memantapkan jati diri muslim dalam diri setiap peserta dan semangat kerjasama dalam kumpulan. Program bermula dengan taklimat Disiplin oleh saudara Farhan b. Ajiyan sebagai fasilitator (unit disiplin) selepas pendaftaran peserta. Acara perasmian program diadakan di dewan dengan dirasmikan oleh GPK HEP, Ust. Muhammad Rahman b. Sulaiman.

Program ini dikendalikan oleh pelajar tingkatan 4 yang bertindak sebagai fasilitator untuk hari Jumaat hingga Sabtu petang sebelum diambil alih oleh fasilitator jemputan dari Kelab Remaja Isma (KRIM).

Antara slot menarik dalam program anjuran unit dakwah SAMSMEL ini ialah ceramah “Pelajar Cemerlang” oleh penceramah jemputan iaitu Hj. Abd Jalil b. Said. Beliau menekankan beberapa ciri pelajar cemerlang yang tidak hanya diukur dari aspek akademik bahkan dari semua aspek. Selain itu, acara “ Talk Show”- forum bertajuk “ Kejayaan dalam Kehidupan dalam Konteks Islam” oleh fasilitator daripada KRIM turut mendapat sambutan.

Acara berakhir pada kira-kira jam 12.45 tengah hari (Ahad) selepas acara riadhah dan acara penutupan program. “Tamrin I`dadil Madrasah” ini memberi kesan positif kepada diri pelajar dan berjaya mencapai objektifnya. Diharapkan program yang memakan masa selama hampir dua hari ini mampu memberi kesan yang mendalam dan faedah yang berpanjangan kepada para peserta.




Sambutan Aidilfitri PIBG SAMSMEL

27 Oktober 2008 (Isnin), jamuan sempena Hari Raya Aidilfitri anjuran PIBG SAMSMEL ini diadakan bertempat di dataran SAMSMEL. Para pelajar, terutamanya yang menetap di asrama dikehendaki hadir sebelum pukul 4.30 petang supaya majlis yang turut disertai ibu bapa dan guru ini dapat berjalan dengan lancar.

Acara bermula kira-kira pukul 5 petang dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, ucapan YDP PIBG, En. Badaruddin b. Dahlan dan ucapan Puan Pengetua SAM Sg.Merab Luar, Pn. Noor Hiyati bt. Othaman. Agenda seterusnya, para ibu bapa, guru dan para pelajar dijemput menjamu selera selepas bacaan doa oleh saudara Farzad b. Hj Abd Jalil. Moga-moga acara yang diadakan boleh menjadi tali penghubung kemesraan antara para ibu bapa ,barisan guru-guru, dan para pelajar.


Sambutan Aidilfitri Peringkat Sekolah

20 Oktober 2008 (Isnin), SAM Sungai Merab Luar telah mengadakan Jamuan Hari Raya Peringkat Sekolah. Majlis ini bermula pada jam 12 tengah hari bertempat di dewan SAMSMEL. Majlis ini dipengerusikan oleh saudara Farzad b. Hj Abd Jalil merangkap Ketua Umum SAMSMEL. Seterusnya, majlis menjemput Pn. Hajjah Noor Hiyati bt. Othaman, Pengetua SAMSMEL untuk menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya, beliau berharap agar hubungan silaturrahim antara pelajar dan guru-guru dapat dieratkan.

Kemudian, majlis ini diiringi dengan bacaan doa sebagai pembukaan majlis dan doa makan yang diketuai oleh saudara Muaz b. Abd Malik, seterusnya majlis menjemput para guru dan pelajar untuk menjamu selera. Antara hidangan yang disajikan pada hari itu ialah nasi impit, kuah kacang, kuah lodeh dan rendang daging. Semua pelajar dan guru menikmati sajian yang telah disediakan secara katering melalui tempahan khas daripada luar. Majlis ini berakhir kira-kira jam 1.30 tengah hari, semua pelajar diminta untuk mengemas dan membersihkan dewan tersebut sebelum bersurai.

Maat Taufiq Wan Najah

Genap seminggu warga SAM Sungai Merab Luar bercuti sempena Aidilfitri, para pelajar tingkatan 4 akan menduduki Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) bagi tahun ini yang bermula pada 6/10/2008 hingga 9/10/2008 manakala para pelajar Tingkatan 3 pula akan menduduki Peperiksaan PMR bermula pada 12/10/2008 hingga 16/10/2008.

Calon yang menduduki Peperiksaan SMA dianggarkan seramai 64 orang. Ini kerana ada beberapa calon yang telah mendaftarkan diri untuk peperiksaan ini telah berpindah ke sekolah lain, namun nama mereka telah didaftarkan di sekolah ini, manakala calon bagi Peperiksaan PMR adalah seramai 81 orang.

Buat semua calon Peperiksaan SMA dan PMR, walaupun bahang dan kehangatan Aidilfitri masih lagi terasa, jangan jadikan ianya sebagai penghalang untuk anda mencipta kejayaan dan hadapilah peperiksaan ini dengan tenang, matang dan bijaksana.

Doa dan harapan seluruh warga SAMSMEL buat semua calon Peperiksaan SMA yang merupakan perintis kepada Peperiksaan ini disebabkan telah 3 tahun sekolah ini tiada Peperiksaan SMA kerana tiada pelajar tingkatan 4. Tidak lupa juga kepada semua calon Peperiksaan PMR, berjuanglah habis-habisan dan buatlah yang terbaik untuk diri anda dan nama baik SAMSMEL. Bittaufiq Wan Najah.

Selamat Pengantin Baru Cikgu Rifaiza

Siapa tak kenal Cikgu Rifaiza atau nama glamournya Cikgu Peja. Telatah dan gurauan cikgu yang berasal daripada Kelantan ini sering membuatkan kami ketawa dan cukup senang hati dengan perwatakannya. Di usia 28 tahun beliau telah menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihannya, Nor Saliza binti Mat Zain yang juga merupakan anak jati Kelantan.

Majlis akad nikah dan walimatul urus diadakan di rumah pengantin perempuan yang terletak di Pasir Mas pada Hari Raya ke 3 dan majlis kenduri sebelah pengantin lelaki pula diadakan di Kuala Kerai pada Hari Raya ke 4. Suasana Aidilfitri nampaknya semakin meriah dengan berlangsungnya majlis perkahwinan 2 mempelai ini.

Doa daripada seluruh warga SAMSMEL semoga kedua-dua pasangan beroleh kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke akhir usia mereka, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah dan sentiasa diberkati Allah SWT hendaknya.


Ramadhan sudah berlalu pergi, kini Syawal menjelang lagi. Di hari dan bulan yang baik ini, marilah kita bermaaf-maafan dan saling menziarahi sesama saudara, sahabat dan rakan-rakan.

Dikesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga segala kesalahan sepanjang perkenalan dimaafkan dan tiada lagi noda dan dosa yang masih dalam ingatan. Semoga perkenalan kita diberkati Allah SWT hendaknya. Jadikanlah segala cabaran dan halangan sepanjang kehidupan ini sebagai pendorong untuk kita membina kecemerlangan. Jangan mudah tewas dengan segala dugaan ini. Ingatlah, Allah bersama-sama dengan mereka yang cekal, sabar dan tabah serta sentiasa berusaha mencipta kejayaan dan kecemerlangan.

Majlis Khatam Al-Quran

Pada 25 September yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Khatam Al-Quran peringkat sekolah yang telah berlangsung di Surau Al-Azhar. Majlis ini diadakan dengan gilang-gemilangnya yang telah dirasmikan oleh Pengetua SAM Sungai Merab Luar, Puan Hajjah Noor Hiyati bt. Othaman.

Antara aktiviti yang telah diadakan ialah nasyid, khatam Al-Quran, penyampaian hadiah, berbuka puasa dan lain-lain lagi. Aktiviti nasyid telah diketuai oleh Abu Ubaidah dan Mohd Ihsan. Penyampaian hadiah pula disampaikan oleh pengetua SAMSMEL. Hadiah diberikan kepada pelajar khatam Al-quran dan pemenang bagi program Maulidur Rasul seperti nasyid, pantun, dan syarahan.

Selepas aktiviti penyampaian hadiah para pelajar dan guru mengambil peluang masa yang ada untuk membaca yassin sambil menunggu azan tanda berbuka puasa. Setelah azan berkumandang, para pelajar hanya menjamah buah kurma dan air mineral dan selepas itu solat berjemaah bersama. Sesudah selesai solat, semua pelajar berbuka puasa di dewan makan manakala guru di dewan SAMSMEL.

Program Tadarus Al-Quran

Bermula bulan September, seluruh umat Islam wajib menjalankan ibadah puasa. Aktiviti yang telah dijalankan adalah Tadarus Al-Quran yang menggantikan waktu rehat pelajar kepada bagi mengisi waktu makan mereka. Semua pelajar diwajibkan mengikuti tadarus tersebut. Tujuan tadarus ini diadakan bagi mengkhatamkan bacaan Al-Quran mengikut kelas masing-masing. Program ini berjalan dengan lancar. Setiap guru akan menjaga kelas yang telah dipertanggungjawabkan berpandukan jadual waktu mengajar mereka.

Sambutan Bulan Kemerdekaan 2008

29 Ogos 2008 (Jumaat), bersempena dengan bulan kemerdekaan, pelbagai aktiviti dan pertandingan telah dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah bersama Panitia Sivik dan Panitia Sejarah. Antara aktiviti menarik ialah tayangan filem patriotik di Bilik APD dan forum negaraku merdeka yang disertai oleh pelajar Tingkatan 3.

Sementara itu pelbagai pertandingan bertemakan kemerdekaan telah dianjurkan seperti pertandingan mereka cipta sajak, nyanyian patriotik, kuiz kemerdekaan, kelas pasca merdeka dan sebagainya mengikut kategori.

Sambutan Kemerdekaan peringkat sekolah bagi tahun 2008 telah diadakan di tapak perhimpunan sekolah yang melibatkan seluruh pelajar dan warga pendidik SAMSMEL. Sekaligus acara ini merupakan acara penutup bagi setiap aktiviti yang telah dijalankan sepanjang bulan Ogos.

Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, sebelum bacaan oleh saudara Farzad b. Abdul Jalil dan diikuti pula dengan nyanyian lagu Negaraku, Negeri Selangor dan lagu sekolah. Acara diteruskan dengan pembacaan perutusan kemerdekaan oleh Puan Pengetua SAM Sungai Merab Luar, Puan Hajjah Noor Hiyati bt. Othaman. Majlis dilengkapkan dengan ucapan perasmian dari yang Puan Pengetua SAMSMEL. Beliau mengingatkan para pelajar agar tidak leka dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi, sebaliknya berusaha dengan bersungguh-sungguh agar kemerdekaan ini dapat terus dikekalkan.

Majlis kemudiannya beralih ke dewan untuk acara seterusnya. Barisan para guru diiring ke dewan baru dengan paluan kompang. Majlis dimeriahkan dengan persembahan oleh para pelajar Tingkatan 4 dan 3. Selain nyanyian lagu patriotik oleh barisan tenaga pengajar SAM Sungai Merab Luar.


Related Posts with Thumbnails