Salam Perpisahan Buat Ustazah Eshah

Tanggal 30 April 2008 adalah hari terakhir buat Puan Hajah Siti Eshah binti Hanafi, selaku Guru Penolong Kanan 1 yang bertanggungjawab dalam urusan akademik di SAM Sungai Merab Luar. Beliau telah berkhidmat lama di sekolah ini. Beliau akan berpindah ke SAM Pasir Panjang dan meneruskan khidmat beliau sebagai pendidikan di sana.

Majlis dimulakan dengan perhimpunan pelajar di Dataran SAMSMEL lebih kurang jam 11.45 pagi. Ucapan yang menyayat hati daripada Puan Hajah Siti Eshah atau lebih dikenali dengan Ustazah Eshah membuatkan ratusan pelajar agak sunyi sepi dan ada yang hampir-hampir menitiskan air mata. Beliau juga telah memberikan beberapa amanat buat rakan-rakan seperjuangan dan anak-anak didik yang bakal ditinggalkan.

Selesai ucapan, pasukan kawat yang terdiri daripada ahli Kadet Bomba dan ahli Kadet Remaja Sekolah membuat persembahan kawat mereka. Para pelajar dihiburkan dengan beberapa gelagat peserta kawat yang mencuit hati namun persembahan tersebut disempurnakan dengan penuh bersemangat.

Selesai acara kawat, para pelajar bersurai dan guru-guru menuju ke kantin sekolah untuk menikmati jamuan makan tengahari sambil diadakan majlis perpisahan secara ringkas diantara semasa guru dan kakitangan sekolah. Sambil guru-guru menikmati jamuan makan tengahari, mereka dihiburkan dengan dendangan nasyid secara santai daripada kumpulan nasyid sekolah.

Buat Ustazah Eshah yang tercinta, segala jasa dan pengorbananmu takkan kami lupakan. Nasihat dan tunjuk ajarmu kami ucapkan jutaan terima kasih. Hanya Allah yang mampu memberikan sebaik-baik ganjaran. Doakan semoga kami di SAMSMEL ini akan terus mencipta nama dan kegemilangan buat sekolah yang tercinta. Salam perpisahan buat Ustazah Eshah.

Lawatan Muhibbah Madrasah Ulu Tiram,Johor

25 April 2008 (Jumaat), satu lawatan muhibah daripada Madrasah Ulu Tiram, Johor (MUT) disambut baik oleh pihak SAMSMEL. Lawatan ini disertai kira-kira 34 orang pelajar MUT dengan diiringi 6 orang guru, diantaranya GPK Kokurikulum MUT.

Aktiviti pertama yang telah diatur ialah perbarisan Kadet oleh pelajar lelaki diikuti dengan persembahan silat. Kemudian mereka dibawa ke Dewan Baru SAMSMEL untuk taklimat dan tayangan slaid mengenai SAMSMEL. Guru Kokurikulum MUT turut memberikan ucapan ringkas sebelum acara penyampaian cenderahati berlangsung.

Selesai acara dewan para pelawat dibawa melawat Pusat Sumber yang kebetulan pada ketika itu Minggu Pusat Sumber sedang dijalankan.Para pelawat dijemput menjamu selera sebelum mereka berangkat pulang. Rombongan dari MUT bertolak dari SAMSMEL setelah sesi pemberian cenderahati kepada semua pelajar MUT selesai.

Minggu Pusat Sumber Sekolah

23 hingga 29 April, Minggu Pusat Sumber telah dirasmikan oleh Puan Nor Azlin bt. Salamun. Semperna Minggu Pusat Sumber banyak aktiviti menarik dirancang dan dikendalikan oleh pengawas Pusat Sumber. Antaranya ialah pameran, jualan, pertandingan dan tayangan. Guru Pusat Sumber Puan Nor Baizura bt. Moht Talkis dalam ucapannya turut berharap agar Minggu Pusat Sumber berjaya dijalankan dengan jayanya.

Pameran berlangsung sepanjang Minggu Pusat Sumber di Pusat Sumber Sekolah. Bertepatan dengan motto Pusat Sumber bagi tahun 2008 iaitu “Seni Budaya Warisan Bangsa”. Pelbagai jenis kraftangan, permainan tradisional, pakaian pengantin, hantaran perkahwinan dan batik di pamerkan.

Related Posts with Thumbnails