Program Restu Ibubapa / Guru PMR & SMA 2008

Tarikh 3 Ogos 2008 merupakan tarikh bermakna dan bersejarah buat warga SAMSMEL khususnya bagi calon-calon peperiksaan PMR dan SMA 2008. Bertempat di Dewan bangunan baru sekolah, calon-calon ini dikumpulkan bagi menjayakan program yang dinamakan " Majlis Restu Ibu Bapa & Guru, Di Ambang Peperiksaan PMR & SMA Tahun 2008 ". Peserta program ini bukan setakat calon-calon peperiksaan dan guru-guru, malah ibu bapa serta penjaga pelajar yang terlibat juga turut hadir menjayakan program ini.

Majlis dimulakan agak lewat sedikit kerana menantikan kehadiran ibu bapa serta penjaga pelajar. Lebih kurang jam 3 petang majlis dapat dimulakan dengan kehadiran yang menggalakkan. Majlis dikendalikan oleh 2 orang pengerusi iaitu Cikgu Rifaiza dan Cikgu S Falinda. Pengetua sekolah memulakan ucapan dengan mengalu-alukan kehadiran ibu bapa dan berharap program ini bakal memberi input yang berfaedah buat ibu bapa dan pelajar. Selesai ucapan Pengetua, Tuan Haji Badaruddin selaku YDP PIBG sekolah mengambil tempat dan memulakan ucapan yang sungguh bertenaga. Beliau berjaya menyuntik semangat dan motivasi kepada para pelajar juga ibubapa mereka agar kejayaan tahun 2007 dapat diulangi bukan setakat kejayaan yang membanggakan, bahkan lebih daripada itu.

Majlis kemudiaannya disambung dengan Ceramah Keibubapaan yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Mohammad Asri bin Abdullah daripada SMK Victoria, Kuala Lumpur. Ustaz Asri memulakan ceramah dengan alunan zikir dan nasyid. Beliau berjaya membangkitkan rasa keinsafan dan kesedaran daripada para pelajar dan beliau berjaya mencungkil isi hati beberapa orang pelajar tentang realiti diri mereka dan persediaan mereka menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Walaupun tempoh ceramah agak panjang namun dengan pelbagai input yang diberikan, pelajar dan ibubapa tidak berganjak walau sedikit pun dari tempat duduk mereka.

Dihujung sesi ceramah, Ustaz Asri meminta para pelajar menjemput ibubapa mereka untuk duduk bersama-sama mereka dihadapan. Sambil berpegang tangan, mereka berzikir dan mengalunkan nasyid yang dapat menimbulkan rasa keinsafan dan kasih sayang sesama mereka. Suasana agak sebak apabila para pelajar memeluk ibubapa mereka dengan menyatakan kemaafan dan memohon restu sebagai bekalan menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang. Suasana sedih ditambahkan lagi dengan tayangan video proses kelahiran sebagai memberikan pengajaran, betapa sukarnya ibu melahirkan anak.

Moga-moga segala input daripada isi ceramah, zikir, nasyid, slaid dan tayangan video berjaya mengetuk hati para pelajar ini agak lebih mengenang jasa dan pengorbanan ibubapa serta guru, juga dapat mengetuk hati mereka agar meningkatkan persediaan ke tahap maksimum demi peperiksaan yang bakal tiba iaitu pada 11-15 Ogos ini (Peperiksaan Percubaan) dan peperiksaan sebenar tidak lama lagi. Jadikanlah kenangan hari ini sebagai penggerak untuk mencetuskan kejayaan yang luar biasa bagi tahun 2008. Insya Allah ...


Sambutan Israk Wal Mikraj

30 Julai 2008 bersamaan 27 Rejab 1429 Hijrah, bertempat di Dewan Baru SAM Sungai Merab Luar, perayaan kebesaran Islam turut dianjurkan bertujuan melahirkan penghayatan Islami dalam diri setiap pelajar.

Pada tahun ini, pihak sekolah telah menjemput Ustaz Abdul Hakam b. Jaaf dari sebuah pertubuhan kerajaan, Aman Palestin untuk menyampaikan input berkenaan sambutan Isra` dan Mikraj.

Beliau menyampaikan ceramahnya beserta tayangan slaid untuk menambah pengetahuan pelajar selain mengukuhkan ketahanan pelajar mengenai perjalanan Isra` dan Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. Beliau turut menerangkan kelebihan Masjidil Aqsa dan kepentingannya buat umat Islam. Pada akhir ceramah, beliau menegaskan kepada para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat menyumbang kepada diri, ad-deen Islam , masyarakat dan negara.

Kelas Asas Pembinaan Blog

Blog adalah sebuah laman web pilihan ramai yang merupakan medium untuk menyampaikan pelbagai maklumat secara online. Blog juga boleh dikategorikan sebagai online journal atau diari online.

Pada tahun 2008 ini, para pelajar SAMSMEL tidak ketinggalan dalam arus teknologi semasa dan mereka juga telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran ICT. Dimulakan dengan para pelajar Tingkatan 4, Unit ICT telah mengadakan kelas asas pembinaan blog ini bagi memberi ruang kepada mereka untuk mengembangkan kemahiran ICT sedia ada. Berikut adalah antara hasil blog yang telah berjaya dibina oleh para pelajar Tingkatan 4 :



Sekiranya anda juga seorang blogger, layarilah blog mereka dan berilah komen yang membina. Ingat, mereka baru belajar. Bimbinglah mereka dengan betul. :-)

Related Posts with Thumbnails